Wanita rentung, suami melecur dalam kebakaran
Sinar Harian
April 23, 2023 12:30 MYT
April 23, 2023 12:30 MYT
KUALA PENYU: Seorang wanita rentung manakala suaminya melecur selepas rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian di Kampung Gerowot di sini pada pagi awal Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa rentung Ninik Yanuwati, 48, ditemui di ruang tamu tingkat dua rumah berkenaan dan suaminya, Jumin Ansiu, 52, sempat menyelamatkan diri bersama dua anak mereka Ellisa Easwerina Christy, 13, dan Marakh Wilson Abed Nego, 9, serta ibunya, Sinap Suram, 78.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu Awang Mohd Sabree berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.
Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 16 kilometer dari BBP Kuala Penyu.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dan turut musnah sebuah kenderaan jenis Proton Iswara.
"Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung manakala suaminya melecur di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan isterinya itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Awang berkata, mangsa rentung telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -- Sinar Harian