Wanita rentung bersama empat anak sedang hamil lima bulan

Shuhada Abdul Kadir
Februari 13, 2025 16:32 MYT
Laila Fathinah (kiri) bersama empat anaknya yang rentung dalam kebakaran rumah sewa mereka di Kampung Berangan Enam, pagi Khamis.- Foto Astro AWANI/Ihsan keluarga
JASIN: Wanita yang rentung dalam kebakaran bersama empat lagi anaknya di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini awal pagi tadi sedang hamil lima bulan.

Ringkasan AI
  • Seorang wanita hamil lima bulan bersama empat anaknya rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, awal pagi tadi. Suaminya terselamat dan sedang dirawat di Hospital Jasin.
  • Ibu mangsa, Ruziha Osman, terkejut dengan kejadian tersebut kerana baru sahaja berjumpa dengan anak dan cucu-cucunya malam sebelum kejadian. Mereka baru pulang dari Puchong selepas mendapatkan rawatan susulan untuk salah seorang anak.
  • Mayat mangsa ditemui di beberapa lokasi dalam rumah dan telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ibu kepada Laila Fathinah Mustapa, 37, Ruziha Osman, 60, yang menetap di Puchong, Selangor berkata, anak sulungnya itu kini sedang hamil anak ketujuh.
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan berhubung kejadian tragis yang meragut nyawa anak serta cucu-cucu kesayangannya memandangkan mereka baru sahaja berjumpa malam tadi.
“Anak saya bersama lima anak serta suaminya terlibat dalam kemalangan kereta pada 30 Januari lalu dan rentetan kejadian itu, salah seorang anak perempuannya yang berusia lapan tahun saya bawa pulang ke Puchong berikutan perlu mendapatkan beberapa rawatan susulan.
“Laila Fathinah kemudian ada datang ke rumah saya bersama anak-anaknya yang lain pada Selasa lalu dengan menaiki bas dari Melaka Sentral dan saya kemudian hantar mereka pulang ke Melaka malam tadi. Itu kali terakhir kami bersua muka,” katanya sambil menyeka air mata.
Tambahnya, dia pada awalnya menyangka ianya hanya kebakaran biasa, namun tersentak apabila mendapat khabar anak serta empat cucunya rentung dan gagal diselamatkan.
“Saya memang terkejut kerana kami baru sahaja bergelak ketawa sepanjang perjalanan ke Melaka dan mereka juga tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Anak ketiga Laila Fathinah yang berusia lapan tahun itu ikut semula saya pulang ke Puchong dan ketika dalam perjalanan ke Hospital Jasin ini saya maklumkan ibu serta empat beradiknya sudah tiada, namun dia seperti kebingungan,” tambahnya lagi.
Laila Fhatinah turut mempunyai seorang lagi anak perempuan yang berusia 18 tahun.
[TERKINI] Lima sekeluarga rentung dalam kebakaran di Jasin
Astro AWANI pada Khamis melaporkan seorang wanita bersama dua anak lelaki dan dua anak perempuannya rentung dalam kebakaran rumah sewa mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai awal pagi tadi.
Manakala suaminya, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, terselamat dan menerima rawatan di Hospital Jasin.
Mayat wanita berusia 37 tahun itu ditemui di bahagian serambi rumah, manakala empat anaknya berusia 13, 7, 6 dan 4 tahun di beberapa lokasi berhampiran jeriji pintu rumah berkenaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#Lima sekeluarga rentung #kebakaran Jasin #mangsa hamil #Laila Fathinah Mustapa #terkini
;