Wanita reka cerita jadi perempuan simpanan didakwa esok

Bernama
Oktober 24, 2024 15:40 MYT
Wanita itu mendakwa dipaksa bekerja tanpa gaji oleh ah long, namun siasatan polis mendapati dakwaan itu tidak benar dan hanya direka untuk meluahkan perasaan. -Gambar fail
GEORGE TOWN: Seorang wanita yang mendakwa dijadikan perempuan simpanan oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long di Pulau Pinang, menerusi satu sesi audio siar di laman sosial TikTok akan didakwa di mahkamah esok.

Ringkasan AI
  • Seorang wanita akan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran melalui dakwaan palsu di TikTok.
  • Wanita tersebut mendakwa dipaksa bekerja tanpa gaji oleh ah long, namun siasatan polis mendapati dakwaan itu tidak benar dan hanya direka untuk meluahkan perasaan.
  • Wanita itu mengaku membuat pinjaman dengan beberapa syarikat pemberi pinjam wang dan menerima ugutan kerana gagal membayar hutang, termasuk ugutan terhadap ibunya di kampung.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata wanita itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown di bawah Seksyen Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
"Pertuduhan kes video viral di laman media sosial TikTok itu dilakukan esok kerana tindakan tidak bertanggungjawab wanita tersebut telah mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 30 Sept lepas, media melaporkan tular video rakaman siaran langsung di aplikasi TikTok berdurasi enam minit 45 saat memaparkan perbualan hos audio siar bersama seorang pemanggil wanita.
Hasil soal siasat mendapati wanita itu telah menghubungi program wawancara (sesi audio siar) itu pada 26 Julai lepas.
Namun siasatan polis mendapati kejadian dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh ahlong di 'rumah merah' adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku malah wanita itu telah mereka cerita kejadian terbabit sekadar untuk meluahkan perasaan
Wanita itu turut mengaku membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjam wang dan menerima ugutan daripada syarikat terbabit kerana gagal membayar hutang, malah ibunya yang berada di kampung turut menerima ugutan.
-- BERNAMA
#perempuan simpanan #sindiket pinjaman wang tidak berlesen #Ah Long #sesi audio siar
;