Wanita ramai di IPT, tetapi kurang di alam pekerjaan - kajian
Najib Aroff
Disember 12, 2018 04:26 MYT
Disember 12, 2018 04:26 MYT
Golongan wanita mempunyai kadar penyertaan dalam tenaga kerja yang rendah dan kadar pengangguran tinggi berbanding golongan lelaki, menurut kajian Peralihan Persekolahan ke Pasaran Pekerjaan oleh Khazanah Research Institute (KRI).
Ia disebalik penyertaan wanita yang 15 peratus lebih tinggi di segala peringkat pendidikan berbanding lelaki.
“Wanita merangkumi 70 peratus kumpulan pelajar yang akan memasuki alam pekerjaan, namun penyertaan dalam tenaga kerja adalah rendah.
“Kajian turut mendapati golongan muda lelaki terus ketinggalan dalam penyertaan pendidikan manakala golongan wanita muda terus berdepan halangan dan diskriminasi pasaran pekerjaan,” kata kajian tersebut.
Selain itu kajian turut mendapati wujud risiko terhadap jumlah golongan muda yang tidak aktif atau tidak menyertai sistem pendidikan mahupun pekerjaan.
“Semakin lama mereka berada di luar pasaran pekerjaan, semakin sukar dan melibatkan kos yang tinggi untuk membawa mereka kembali memasuki sistem pekerjaan,” kata kajian itu.
Justeru kajian itu mencadangkan penambahbaikan program latihan kepada bukan sahaja graduan sebaliknya golongan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi bagi melengkapkan mereka dengan kepakaran yang diperlukan industri.
Pada masa sama kajian tersebut turut mencadangkan Dasar Pasaran Buruh Aktif (ALMP) perlu menilai kembali cakupan mereka dan tidak hanya tertumpu kepada graduan.
Ia termasuk program seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEMS).
Program tersebut juga dicadang melakukan penilaian terhadap impak, kemampanan, kos berkaitan, alternatif lain yang lebih terangkum, cekap kos serta capaian lebih luas.
“Banyak negara di dunia menggunakan teknologi untuk meningkatkan tahap kecekapan mereka dalam pelaksanaan ALMP bagi memastikan kumplan sasar menerima manfaat,” kata kajian itu lagi.
Penggunaan teknologi akan membolehkan penilaian tepat dilakukan berkaitan keperluan golongan muda, membina profile mereka dan menyediakan data masa sebenar untuk dasar lebih bersasar.