Wanita pukul kucing sehingga mati dipenjara enam bulan

Bernama
November 23, 2022 20:00 MYT
Seorang wanita warga Indonesia yang bertindak kejam memukul seekor kucing jantan jalanan dengan sebatang penyapu sehingga mati dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Seorang wanita warga Indonesia yang bertindak kejam memukul seekor kucing jantan jalanan dengan sebatang penyapu sehingga mati dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga pisang goreng iaitu Hotimah, 60, selepas dia mengaku melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai tidak bernombor di Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini pada 7.46 pagi 20 Ogos lepas.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda minimum 20,000 maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.
Hotimah dilihat menangis dan jatuh terduduk di atas bangku dalam kandang tertuduh selepas mendengar hukuman itu.
Mahkamah memerintahkan Hotimah, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS kerana tindakannya yang disifatkan sebagai sangat kejam.
"Dalam kes ini, OKS telah memukul kucing itu sehingga mati dan ia merupakan makhluk tuhan yang tidak mampu berkata-kata. Kucing itu juga tidak mengganggu atau merosakkan harta benda OKS selain perbuatan OKS memukul kucing ini adalah kesalahan serius dan tidak berperikemanusiaan," katanya.
Hotimah, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit jantung.
"Saya mengaku melakukan kesalahan itu. Saya minta maaf tuan," katanya.
Berdasarkan fakta kes, Hotimah yang ketika itu menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah kedai, bertindak memukul kucing yang duduk di atas kerusi di premis tersebut sehingga batang penyapu patah.
Siasatan mendapati OKS telah memukul haiwan tersebut sehingga mati dan terdapat kesan retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepala kucing itu.
-- BERNAMA
#wanita indonesia #pukul kucing hingga mati #kucing jantan jalanan #dipenjara
;