Wanita PUI COVID-19 cuba larikan diri dari Hospital Keningau adalah pesakit mental

Eleanor Michelle Patrick
Oktober 3, 2021 19:59 MYT
Tambah Dr Rose Nani, disebabkan bertindak agresif di rumah ketika menjalani kuarantin, wanita tersebut telah dimasukkan ke wad di hospital berkenaan sekitar jam 2.30 pagi. - Ihsan JBPM Sabah.
KOTA KINABALU: Wanita yang merupakan individu dalam pemantauan (PUI) COVID-19 yang cuba melarikan diri sebelum diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau di Hospital Keningau merupakan seorang pesakit mental.
Menurut Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, wanita itu dimasukkan ke Hospital Keningau selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit COVID-19 yang sedang dikuarantin.
Tambah Dr Rose Nani, disebabkan bertindak agresif di rumah ketika menjalani kuarantin, wanita tersebut telah dimasukkan ke wad di hospital berkenaan sekitar jam 2.30 pagi.
"Pesakit dimasukkan dan menerima rawatan ke wad PUI di Tingkat 4 hospital itu.
"Semua tingkap di di wad telah dipasang skru dan hanya dapat dibuka setakat 30 darjah sahaja," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
BACA: Wanita PUI COVID-19 diselamatkan bomba selepas terperangkap ketika cuba larikan diri
Bagaimanapun jelas Dr Rose Nani, jururawat yang membuat rondaan pada pukul 6.30 pagi Ahad menyedari wanita berusia 24 tahun itu tidak berada di dalam bilik, sebaliknya berada di luar tingkap.
"Kemungkinan pesakit menyusup keluar melalui tingkap yang dibuka sempit. Semua agensi diaktifkan dengan serta-merta dan pesakit selamat dibawa masuk ke dalam wad," katanya.
Tambah beliau, keputusan saringan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang dilakukan ke atas wanita tersebut adalah negatif, namun masih dikategorikan sebagai PUI.
Sementara itu, Dr Rose turut memaklumkan tindakan penambahbaikan yang mana pihak hospital akan memastikan semua pesakit yang mempunyai sejarah penyakit mental dan memerlukan isolasi akibat COVID-19, akan dimasukkan ke wad psikiatri dan bukannya wad biasa.
PUI COVID-19 | Terperangkap selepas cuba melarikan diri
#Dr Rose Nani Mudin #pesakit mental #Wanita PUI #COVID-19 #PUI COVID-19
;