Wanita PKR kecam tindakan Taliban halang wanita lanjut pelajaran ke universiti
Madiha Abdullah
Disember 23, 2022 16:30 MYT
Disember 23, 2022 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sayap Wanita PKR mengecam tindakan pemerintahan Taliban yang mengharamkan wanita Afghanistan daripada melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan mengkritik dasar yang mengangkat sistem yang regresif.
Ketuanya Fadhlina Sidek berkata, langkah berkenaan akan memberi implikasi jangka masa panjang yang akhirnya akan menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada landasan pentadbiran negara yang didakwa berasaskan Islam.
"Ketidakterlibatan wanita dalam institusi pengajian tinggi akhirnya akan menyebabkan kadar partisipasi wanita dalam tenaga kerja akan lebih sedikit. Ini juga akan menjurus kepada ruang dan peluang dominasi yang berpihak hanya kepada satu gender dan tidak mewakili suara segenap masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Tambahnya, dasar tersebut hanya akan melebarkan jurang daya saing di antara gender dari sudut peluang pekerjaan berkualiti, status ekonomi dan sosial.
Justeru, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan mendesak pihak pemerintahan Taliban mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan tersebut dan mengembalikan akses wanita Afghanistan melanjutkan pengajian ke universiti.
Pada Rabu, media melaporkan Taliban melarang pelajar perempuan daripada meneruskan pendidikan universiti, berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan surat dikongsikan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi, universiti swasta dan awam perlu melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan.