Wanita perlu diberi peluang saksama dalam bidang kewartawanan
Bernama
Mei 26, 2023 07:30 MYT
Mei 26, 2023 07:30 MYT
IPOH: Wanita perlu diberikan peluang yang saksama di peringkat pengurusan dalam bidang kewartawanan oleh majikan, sekali gus menghapuskan stereotaip jantina dalam bidang itu.
Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim berkata isu berkenaan boleh dicapai, melalui sokongan pihak kerajaan melalui undang-undang yang memerlukan majikan memberi kesaksamaan kepada lelaki dan wanita.
"Ia akan memberi ruang yang lebih terbuka kepada wanita untuk berjaya dalam bidang ini, namun terpulang kepada peringkat atasan...semua tahu industri ini lebih ramai lelaki di atas, jadi berbalik kepada keupayaan staf mereka juga, sekiranya seseorang wanita ialah wartawan yang hebat dan mampu memberi pulangan yang baik kepada syarikat.
"Pemimpin wanita dalam industri akan menyediakan satu sistem yang baik dalam jabatan, juga untuk memastikan semua berjalan lancar," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk 'Posisi Kanan Editorial, Wartawan Wanita Tidak Berbisa?', malam tadi.
Farah Naz berkata penilaian terhadap wartawan untuk dipilih menjadi pemimpin sesuatu organisasi, juga tidak boleh dibuat berdasarkan peranan jantina dalam rumahtangga dan keluarga masing-masing, kerana lelaki turut mempunyai tanggungjawab sama seperti wanita.
"Ada juga pekerja lelaki di peringkat tinggi hendak balik awal untuk menjemput anak pulang dari sekolah, di mana bukan hanya wanita kerana di luar sana suami isteri ada peranan hampir sama di rumah, selain bekerja mereka perlu menjaga anak, jadi jangan lihat wanita sahaja yang perlu balik cepat," katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perancangan Strategik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata wartawan wanita, perlu diberi peluang untuk mengembangkan keupayaan mereka ke peringkat tertinggi, termasuk menerusi bimbingan latihan dan kursus, sebagai persediaan untuk berada di kedudukan tersebut.
"Jika mereka berasa tidak diberi peluang secukupnya untuk mencapai tahap itu dan mereka mahu berada di kedudukan itu, mereka kena ambil inisiatif tersendiri untuk memperbaiki kedudukan mereka.
"Alhamdulillah di Bernama, boleh dikatakan kebanyakan wartawan kanan wanita kita telah diberi bimbingan, sewajarnya cuma menunggu masa dan peluang untuk berada di kedudukan itu," katanya.
Beliau berkata banyak perubahan positif yang boleh dilihat, apabila terdapat golongan wanita menyandang kedudukan sebagai ketua sesebuah meja berita, malah dilantik sebagai editor kanan di agensi berita itu sejak lebih sedekad lalu.
Dalam pada itu, Editor Eksekutif Digital Sinar Harian Ruzy Adila Idris berkata akhbar tempatan berkenaan pula berbeza, kerana pengurusannya dipelopori golongan wanita termasuklah yang memegang jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, walaupun masih didominasi oleh golongan lelaki.
"Pada saya kerajinan dan ketekunan seseorang tidak mengira jantina tetapi individu. Ada masanya seseorang yang 'perform' dalam tugas, ada peringkat apabila berumah tangga akan kurang sekejap dan kita sebagai ketua, kena bantu mereka supaya tidak berputus asa," katanya.
-- BERNAMA