Wanita pengsan ketika 'hiking' di Bukit Jugra
Astro Awani
Julai 8, 2023 11:15 MYT
Julai 8, 2023 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang wanita pengsan ketika melakukan aktiviti pendakian bersama sekumpulan rakannya di Bukit Jugra, Banting, Selangor.
Dalam satu kenyataan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.58 pagi, pada Sabtu.
"Mangsa berusia 30 tahun telah pengsan ketika mendaki bersama empat rakannya di Bukit Jugra.
"Ketika bomba tiba di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan sedar dan mengalami keletihan.
"Justeru, bomba bertindak mengusung mangsa turun menggunakan peralatan khas," kata pusat gerakan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, mangsa telah diberikan rawatan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.