Wanita parah tercampak dari kereta dalam kemalangan
Sinar Harian
Mei 28, 2022 15:20 MYT
Mei 28, 2022 15:20 MYT
SHAH ALAM: Seorang wanita cedera parah akibat tercampak dari tempat duduk belakang selepas kereta Perodua Bezza dinaikinya melanggar penghadang jalan di Kilometer 3.7 Jalan Setia Alam menghala arah Setia City Mall di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pemandu dan dua lagi penumpang kenderaan tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan sekitar jam 11 pagi itu.
Menurutnya, sebuah jentera bersama pegawai dan anggota dari Balai Bomba Kota Anggerik tiba di lokasi kejadian pada jam 11.25 pagi.
"Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza dipandu seorang wanita berumur 24 tahun bersama tiga penumpang iaitu seorang lelaki dan dua wanita dewasa.
"Kenderaan dinaiki empat sahabat tersebut hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Norazam berkata, tiga mangsa yang mengalami cedera ringan telah keluar dengan sendiri dari kereta terbabit manakala mangsa yang tercampak ditemui dalam keadaan separuh sedar.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang berusia 22 hingga 27 tahun diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian