Wanita pandu lawan arus rempuh tiga kenderaan lain di Perai
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 15, 2021 12:34 MYT
Februari 15, 2021 12:34 MYT
PERAI: Tidak tahu arah jalan dipercayai punca seorang wanita memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan dia merempuh tiga buah kenderaan lain dalam kemalangan di susur Jalan Perusahaan Perai, di sini.
Kemalangan itu bagaimanapun tidak menyebabkan kematian dan ke semua pemandu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden berkenaan pada jam 6.30 petang Ahad.
Siasatan awal pihaknya dimaklumkan wanita yang memandu kereta jenis Honda Civic dikatakan terkeliru dengan arah jalan menyebabkan dia memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar kenderaan jenis Perodua Myvi, Proton Exora dan motosikal jenis Yamaha Y15.
"Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 31 tahun dari Seberang Jaya itu melanggar dua kereta yang dipandu lelaki berusia 26 dan 29 tahun serta seorang penunggang motosikal lelaki berusia 31 tahun," kata Shafee dalam kenyataan, pada Isnin.
Shafee berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kemalangan itu di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#wanita pandu lawan arus
#rempuh tiga kenderaan
#dua buah kereta
#sebuah motosikal
#Jalan Perusahaan Perai
#Seberang Perai
#pulau pinang