Wanita Orang Asli Kampung Bakar Batu mahu pasarkan aksesori sisik ikan

Bernama
September 7, 2023 08:00 MYT
Penduduk Orang Asli, Yang Tom, 59, atau mesra disapa Mak Yang, menunjukkan anting-anting yang diperbuat dari sisik ikan Siakap ketika ditemui Bernama di Kampung Bakar Batu, Perling, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Siapa sangka sisik ikan yang lazimnya dibuang boleh dijadikan aksesori yang unik dan menarik sekali gus berpotensi menjana pendapatan bagi masyarakat Orang Asli di Kampung Bakar Batu, Perling, di sini.
Penduduk Orang Asli, Yang Tom, 59, atau mesra disapa Mak Yang, berkata dengan kos yang minimum serta sedikit kreativiti, sisik ikan itu diolah menjadi subang atau anting-anting dan kerongsang oleh golongan wanita di kampung berkenaan.
"Kami hanya menggunakan sisik ikan siakap kerana saiz dan ketahanannya. Pemilihan saiz sisik juga pelbagai, namun perlu disaring bagi memastikan hanya sisik yang elok dan berkualiti digunakan.
"Selepas sisik dikumpulkan, ia direndam dalam air sabun selama sehari kemudian dijemur dan sedia diwarnakan bagi menambah daya tarikan aksesori tersebut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dia berkata proses menyiapkan sepasang anting-anting atau kerongsang biasanya mengambil masa satu hingga dua hari.
Menurutnya sisik seekor ikan siakap bersaiz besar biasanya dapat menghasilkan antara dua hingga tiga pasang anting-anting dan dengan reka bentuk yang menarik, hasil inovasi wanita Orang Asli suku Seletar itu berpotensi untuk dipasarkan bagi menjana pendapatan.
Mak Yang berkata selain aksesori sisik ikan, masyarakat di situ turut menghasilkan produk kraf lain termasuk selempang dan tempok (aksesori dipakai di kepala) yang diperbuat daripada mengkuang.
"Kami harap produk kraf ini boleh dipasarkan sekali gus dapat memperkasakan ekonomi wanita di sini bagi membantu menyara keluarga," katanya.
Menurutnya setakat ini kesemua produk berkenaan hanya dipasarkan apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengadakan atau menyertai pameran dan ekspo.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkaitan dapat menyediakan kemudahan infrastruktur seperti membina premis khas untuk penduduk di kampung itu menjalankan aktiviti membuat dan memasarkan kraf tangan serta ruang pameran.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kampung Batu Bakar, Muzilawati Sulaiman berkata produk hasil tangan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut biasanya akan dipamerkan di program anjuran jabatan itu.
Katanya usaha itu sedikit sebanyak membantu memberi pendedahan dan mempromosikan produk tersebut kepada orang ramai.
"Apabila ada program anjuran JAKOA memang kita bawa produk mereka dan setakat ini terdapat kraf tangan yang berjaya dijual dan ditempah pembeli," katanya.
Kampung Orang Asli Bakar Batu yang terletak dalam daerah Johor Bahru, kini mempunyai kira-kira 200 penduduk dengan majoritinya adalah nelayan.
-- BERNAMA
#JAKOA #wanita Orang Asli #Kampung Bakar Batu #Yang Tom
;