Wanita OKU warga emas ditemukan mati dalam perigi
Adie Sufian Zulkefli
November 17, 2023 11:57 MYT
November 17, 2023 11:57 MYT
BALING: Seorang wanita warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemukan mati di dalam sebuah perigi di Kampung Mengkuang Tengah, Kupang, di sini, semalam.
Mayat Umi Kalsom Jasin, 80 tahun, ditemui oleh ahli keluarganya pada jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengatakan seorang wanita terjatuh dalam perigi.
“Hasil siasatan terhadap ahli keluarga mangsa mendapati, pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari, mangsa dilihat sedang memotong rumput di belakang rumah.
“Menyedari mangsa tidak pulang untuk makan tengah hari, ahli keluarga bertindak mencari mangsa tetapi tidak menjumpainya.
"Waris mangsa kemudiannya terus pergi ke belakang rumah dan menemui mangsa di dalam perigi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shamsudin berkata, hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa dan kawasan sekitar tidak menemukan sebarang kesan jenayah.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Setar untuk bedah siasat.