Wanita OKU, suami direman kes tendang penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 7, 2024 14:30 MYT
Februari 7, 2024 14:30 MYT
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan reman sepasang suami isteri selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung ugutan jenayah susulan tindakan mereka yang mengganggu penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang.
Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 37 tahun yang juga orang kelainan upaya ( OKU) dan suaminya, 50, dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula hari ini sehingga 10 Februari.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang berpakaian lokap itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi polis.
Pada Selasa, media melaporkan, sepasang suami isteri ditahan susulan tindakan mereka yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang arah George Town menghala Seberang Perai diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Helmi Aris dalam kenyataan memaklumkan tangkapan dibuat susulan tular video memaparkan kejadian penunggang dan pembonceng motosikal yang menunggang dalam keadaan bahaya apabila pembonceng bertindak membaling sesuatu objek disyaki pasir serta cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memintas motosikalnya.
Semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua mereka mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2021 dan tahun ini.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.