Wanita OKU rentung, tiga anak melecur kebakaran 12 rumah di Inanam
Sinar Harian
Disember 22, 2023 08:30 MYT
Disember 22, 2023 08:30 MYT
KOTA KINABALU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) rentung manakala empat lagi anaknya cedera termasuk tiga melecur dalam kejadian kebakaran membabitkan 12 rumah di Kampung Kalansanan, Inanam di sini pada malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Idam Hamid berusia 50-an ditemukan rentung di bahagian bilik rumahnya.
Tiga yang lain dikenali sebagai Saliun, 22, Zamani, 20, dan Noridah, 16, mengalami kecederaan melecur manakala seorang lagi dikenali sebagai Siti Aisah, 23, tidak sedarkan diri.
Ketua Zon Kota Kinabalu merangkap Komander Operasi, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.10 malam.
Katanya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama bantuan daripada BBP Kota Kinabalu dan Tuaran dikerah ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan 12 rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus dan terdapat lima mangsa iaitu kesemua mereka satu keluarga terdiri daripada wanita OKU yang ditemukan rentung di bahagian biliknya, tiga anaknya melecur dan seorang lagi pengsan.
"Operasi memadamkan kebakaran dijalankan menggunakan tiga aliran daripada sumber air dari pili bomba dan jentera tangki air," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, api berjaya dikawal pada jam 1.16 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.50 pagi.
"Mayat mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa cedera dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya. - Sinar Harian