Wanita OKU diselamat selepas dipukul, diculik jiran warga Bangladesh

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 3, 2024 16:02 MYT
Mangsa berjaya diselamatkan selepas ditemui di dalam asrama pekerja didiami dua suspek berkenaan. - Foto PDRM
AYER KEROH: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) diculik, dipukul menggunakan tukul serta dikurung oleh dua lelaki warga Bangladesh yang juga jirannya di dalam sebuah bilik di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, Selasa lalu.

Ringkasan AI
  • Penculikan dan Penderaan: Seorang wanita OKU diculik, dipukul dengan tukul, dan dikurung oleh dua lelaki warga Bangladesh di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.
  • Penyelamatan Mangsa: Mangsa yang berusia 22 tahun berjaya diselamatkan oleh polis selepas ditemui di dalam asrama pekerja yang didiami oleh suspek.
  • Penahanan Suspek: Dua suspek berusia 20 dan 36 tahun telah diberkas dan direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324/342 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa berusia 22 tahun yang juga OKU lembam bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas ditemui di dalam asrama pekerja didiami dua suspek berkenaan.
“Kejadian ini dikatakan berlaku kira-kira pukul 7 petang yang mana ketika mangsa berada di belakang rumah seorang diri didatangi dua lelaki warga Bangladesh lalu membawanya masuk ke dalam sebuah rumah.
“Kehilangan mangsa disedari keluarganya selepas dia tidak pulang ke rumah dan operasi pencarian dibuat bersama-sama jiran tetangga di kawasan berkenaan sebelum berjaya ditemukan 30 minit kemudian.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit, serta mengalami kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut ujarnya, lokasi kejadian adalah sebuah rumah pangsapuri di tingkat bawah di mana terdapat tiga bilik tidur dan dijadikan asrama warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan.
“Mangsa memaklumkan, suspek telah memukul kepalanya menggunakan tukul dan menyebabkan dia tidak sedarkan diri, namun tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam kawasan tersebut.
“Siasatan tempat kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang kesan darah, namun kita menemui sebatang tukul besi dan wayar pengecas telefon yang dipotong di lokasi,” ujarnya.
Katanya, susulan kejadian itu dua suspek berusia 20 serta 36 tahun telah diberkas di tepi jalan di Batu Berendam semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324/342 Kanun Keseksaan.
#Wanita OKU #diculik jiran #warga Bangladesh #ayer keroh #dipukul
;