Wanita nyaris maut tergelincir ke dalam tasik
Adie Sufian Zulkefli
November 27, 2020 00:53 MYT
November 27, 2020 00:53 MYT
KUALA NERANG: Seoarang wanita nyaris maut selepas tergelincir ke dalam Tasik Pedu, pada Jumaat.
Dalam kejadian 1 petang itu, mangsa dikatakan sedang memancing bersama tiga anggota keluarga lain di tengah tasik tersebut.
Mangsa dikatakan cuba meniti laluan di dalam bot namun dikatakan tergelincir lalu jatuh ke dalam tasik.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.30 petang.
Bagaimanapun wanita berusia 40-an itu diselamatkan orang awam dan kemudian mereka meminta bantuan bot APM untuk membawa mangsa ke Hospital Kuala Nerang.
Jarak antara lokasi mangsa terjatuh dengan jalan darat kira-kira tujuh kilometer namun mangsa hanya mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan keadaannya stabil.
Mohd Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti memancing berikutan keadaan hujan pada waktu ini menyebabkan air naik yang boleh mengancam keselamatan.