Wanita Nigeria didenda RM1,500 kerana tawar seks kepada polis
Bernama
September 12, 2017 18:26 MYT
September 12, 2017 18:26 MYT
Seorang wanita Nigeria didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Aitimon Raith Efe, 27, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan. Dia membayar denda.
Ibu kepada seorang anak itu didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi tujuan pelacuran kepada L/Koperal Musa Mohamad Kadam di Jalan Berangan, Bukit Bintang di sini, pada 5.30 pagi, 6 Sept lalu.
Dia dituduh menurut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Wanita itu turut didenda RM500 atau sebulan penjara kerana melanggar syarat pas pelajarnya dengan bekerja sebagai pelacur, di tempat dan tarikh yang sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Dalam rayuannya, Aitimon yang diwakili peguam Norizan Yaacub berkata itu kesalahan pertamanya dan dia menyesal atas perbuatannya selain mempunyai seorang anak yang tinggal di negara asal.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menggesa mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.
-- BERNAMA