Wanita murung terjun jambatan berjaya diselamatkan
Astro Awani
Mac 17, 2021 12:11 MYT
Mac 17, 2021 12:11 MYT
KOTA BHARU: Seorang wanita berjaya diselamatkan selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, pada Rabu.
Tindakan wanita berusia 29 tahun itu dipercayai akibat kemurungan.
Dalam kejadian pada jam 1.50 pagi itu, wanita yang bekerja sebagai petugas di sebuah kantin itu dilihat berdiri di atas palang penghadang jambatan dalam keadaan menghadap ke arah Sungai Kelantan.
Tindakannya disedari orang awam yang menggunakan laluan itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata seorang lelaki berusia 21 tahun yang kebetulan memandu melalui jambatan tersebut ternampak tindakan wanita terbabit lalu memberhentikan kereta dan memujuknya.
“Dia segera menghubungi 999 untuk bantuan dan polis tiba di lokasi tetapi wanita itu tiba-tiba terjun ke sungai.
“Wanita itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Abdul Rahim, wanita berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan mungkin akan dirujuk kepada pakar psikiatri.
Beliau berkata keluarganya memaklumkan, wanita tersebut mengalami masalah kemurungan dan tekanan perasaan yang belum diketahui punca.
“Dia tidak mempunyai rekod penyakit mental dan tidak pernah dirujuk ke hospital tetapi dalam proses pemulihan melalui kaedah perubatan tradisional,” katanya,
“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca kejadian yang menyebabkan dia terjun,” katanya.
Rakaman video wanita berkenaan berdiri di atas palang jambatan tersebut kini tular di media sosial.
#Kemurungan
#terjun jambatan
#pekerja kantin
#Abdul Rahim Daud
#Ketua Polis Daerah Kota Bharu
#Hospital Raja Perempuan Zainab II