Wanita mohon maaf rempuh enam gerai bazar Ramadan

Sinar Harian
Mac 25, 2023 17:50 MYT
Gambar tular keadaan kereta dipandu peniaga wanita itu selepas merempuh gerai Bazar Ramadan Bandar Seri Jempol pagi Sabtu. -Foto Sinar Harian
JEMPOL: Seorang peniaga wanita memohon maaf selepas kereta yang dipandunya merempuh enam buah gerai di Bazar Ramadan Bandar Seri Jempol di sini pada pagi Sabtu.
Peniaga berkenaan, Nur Shaliyana Abdullah, 34, berkata, kejadian lebih kurang jam 10 pagi itu berlaku ketika dia hendak meletakkan kenderaannya di situ susulan kedai sewanya berhampiran lokasi tersebut.
"Kebiasaannya saya memang parkir dekat situ, namun hari ini entah macam mana boleh rempuh enam buah gerai pula.
"Kejadian itu sekelip mata sahaja, rasanya dah tekan brek tetapi berlaku sebaliknya kereta meluncur laju depan," katanya pada Sabtu.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kecederaan kepada orang lain berikutan jualan bazar belum bermula.
"Selepas kemalangan ada peniaga lain membantu mengeluarkan saya dan mereka turut membantu mengenal pasti pemilik gerai terlibat.
"Saya minta maaf dan akan membayar ganti rugi semua gerai yang rosak,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan akibat rempuhan itu.
"Empat khemah gerai patah manakala dua buah gerai pula mengalami kerosakan pada meja," katanya. -Sinar Harian
#Bazar Ramadan #peniaga wanita #Nur Shaliyana Abdullah #rempuh enam gerai
;