Wanita minta Mahkamah Persekutuan semak semula keputusan status agamanya

Bernama
Ogos 19, 2024 23:30 MYT
Seorang wanita berusia 37 tahun telah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk membatalkan keputusan sebelum ini yang mengembalikan status agamanya sebagai Islam. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Seorang wanita berusia 37 tahun telah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk membatalkan keputusan sebelum ini yang mengembalikan status agamanya sebagai Islam.
Peguamnya, A. Surendra Ananth, ketika dihubungi oleh Bernama, mengesahkan bahawa permohonan itu mengikut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 telah difailkan pada Jumaat lalu.
Dalam notis usulnya, wanita itu memohon Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 yang dibuat pada 3 Mei lalun yang telah menolak rayuannya.
Beliau meminta panel hakim baharu di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya.
Dalam permohonannya, wanita itu menyatakan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan tersebut adalah per incuriam (penghakiman mahkamah itu mengabaikan peruntukan undang-undang yang relevan atau keputusan mahkamah yang mengikat).
Wanita itu juga berpendapat bahawa keputusan majoriti tersebut dibuat di luar bidang kuasa mahkamah dan melanggar prinsip keadilan asasi. Beliau juga menyatakan bahawa keputusan majoriti tersebut telah menyebabkan salah laksana keadilan yang serius.
Pengurusan kes untuk permohonan semakan telah ditetapkan pada 18 Sept ini.
Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan statusnya sebagai seorang Islam.
Wanita itu, yang dilahirkan di Selangor kepada seorang bapa Hindu dan seorang ibu penganut Buddha mendakwa bahawa ibunya bertindak mengislamkannya pada ketika berusia empat tahun pada 1991 tanpa persetujuan bapanya.
Beliau berkata ibunya berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam selepas bercerai dengan bapanya.
Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan.
Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.
Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya.
Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.
Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam dan berjaya mendapat pengisytiharan bahawa beliau bukan beragama Islam.
Bagaimanapun, keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor.
-- BERNAMA
#wanita #Mahkamah Persekutuan #semak semula keputusan status agama #Islam #MAIS