Wanita meninggal dunia selepas rebah di kubur adik
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 9, 2022 23:17 MYT
Oktober 9, 2022 23:17 MYT
ALOR GAJAH: Seorang wanita yang kerap menziarahi kubur adiknya sejak hujung tahun lalu meninggal dunia selepas rebah di pusara berkenaan di Tanah Perkuburan Tanah Wakaf, Lubok China di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Suhaidzra Abd Zahar, 46, rebah secara tiba-tiba sebelum disedari oleh orang awam.
“Selepas kematian adik lelaki pada 4 November 2021, dia yang belum berkahwin kerap menziarahi kubur adiknya itu dengan memandu kereta bersendirian dari Seremban 2, ke Kampung Lubok China.
“Semasa berada di pusara berkenaan, ada saksi lihat wanita itu tiba-tiba rebah dan dengan bantuan orang ramai dia dibawa ke Klinik Kesihatan Lubok China sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, pemeriksaan lanjut terhadap wanita yang bekerja sebagai kerani di pejabat guaman itu mendapati dia meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
“Jenazah telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut dan siasatan polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah,” tambahnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.