Wanita meninggal dunia disengat tebuan di Sungai Petani
Adie Sufian Zulkefli
November 4, 2024 16:45 MYT
November 4, 2024 16:45 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas disengat tebuan ketika berada di rumahnya di Taman Semarak, Sungai Pasir, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Rohani Mohd Shariff, 61, dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Beliau berkata, kejadian itu disedari anak mangsa selepas pulang ke rumah pada jam 8 malam mendapati ibunya sedang mengerang kesakitan.
“Mangsa sempat memberitahu dia disengat tebuan pada badan. Anak mangsa kemudian menghubungi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk meminta bantuan ambulans membawa mangsa bagi mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.