Wanita mengandung didakwa mencuri
Raffi Bachik
Januari 22, 2018 16:24 MYT
Januari 22, 2018 16:24 MYT
Seorang wanita yang sedang hamil empat bulan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai barang kemas serta wang tunai, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Fazlina Shamsudin, 33 tahun yang merupakan ibu kepada lima anak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Majistret Norina Maludin.
Berdasarkan pertuduhan, Fazlina bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat mencuri barang kemas dan wang tunai bernilai RM170 milik Rama Baba, 74 tahun, di alamat Batu 7 1/2 Bukit Darat, Tg Kling Melaka sekitar 4 petang pada 12 Okt 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Sseksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda bagi kesalahan pertama atau dengan sebat bagi kesalahan kedua.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000.
Fazlina yang diwakili peguam Nik Nurhaizun Che Mat bagaimanapun merayu mahkamah untuk merendahkan jumlah jaminan memandangkan dia mempunyai lima anak berusia dua hingga 10 tahun, manakala suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Tambah Nik Nurhaizun, tertuduh yang sebelum ini menjalani hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sejak 21 Januari 2016, baru semalam tamat hukuman dan dilepaskan di Mahkamah Batu Pahat, Johor.
Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Norina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Feb ini sebagai tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen.