Wanita mengaku tidak bersalah pecah amanah wang pelaburan pelanggan

Bernama
Januari 23, 2025 22:40 MYT
Alina Tommy, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet. - Foto hiasan
SIBU: Seorang bekas pekerja wanita syarikat pengurusan unit amanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang pelaburan pelanggan berjumlah RM263,296.12.
Alina Tommy, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Feb ini sebagai tarikh pengurusan kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 berserta dua penjamin.
Alina dituduh melakukan pecah amanah di sebuah syarikat unit amanah di sini antara tahun 2020 dan Mac 2024.
Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Amirul Hakim Mohamad Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Yap Hoi Liong.
-- BERNAMA
#wanita #pecah amanah #wang pelaburan pelanggan #Alina Tommy
;