Wanita mengaku tidak bersalah abai tiga anak selama empat bulan

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 11, 2022 12:50 MYT
Hakim membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 September ini sebagai sebutan semula kes. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang pembantu am sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya selama empat bulan, tahun lalu.
Tertuduh, Masanizah Roslan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa meninggalkan tiga anak kandungnya yang berusia 11, lapan dan enam tahun ketika kejadian, tanpa jagaan yang mungkin akan menyebabkan ketiga-tiga kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana antara 23 Mei sehingga 25 September 2021 lalu.
Mahkamah | Abai anak, ibu hamil berdepan hukuman penjara
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM 20,000 atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan dia kini sedang hamil tiga bulan selain masih menanggung ketiga-tiga anaknya itu meskipun bukan lagi di bawah jagaannya.
Difahamkan ketiga-tiga kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan ibu saudara bekas suaminya.
Hakim Nariman pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 September ini sebagai sebutan semula kes.
#abai anak #Mahkamah Sesyen #ayer keroh #ibu
;