Wanita mengaku salah menyundal

Sinar Harian
Mei 10, 2024 15:45 MYT
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Jumaat.
KUALA PILAH: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan pada minggu lalu.
Tertuduh, Dhiya Khairunnisa Muhamad Khalid, 20, dari Kuala Krai, Kelantan membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati mencari pelanggan bagi maksud persundalan di sebuah bilik hotel di Gemas, Tampin pada jam 2.30 petang 3 Mei lalu.
Sehubungan itu, tertuduh yang merupakan pesalah muda melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi tidak menawarkan sebarang wang jaminan berikutan bimbang remaja berkenaan pernah dilaporkan bagi kes orang hilang di Kelantan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu dalam rayuannya memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai wang untuk membayar jaminan tersebut kerana ibu dan bapanya orang susah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Sebutan semula kes bagi laporan sosial ditetapkan pada 13 Jun ini. - Sinar Harian
#kesalahan menyundal #pelacuran #Wanita tempatan #hotel
;