Wanita mengaku kerabat didakwa hina Yang di-Pertuan Agong

Vivi Sumanti
Februari 14, 2018 16:09 MYT
Tertuduh, Shamsiah Samsudin, 44, bagaimanapun tidak mengaku salah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin. - Gambar hiasan
Seorang wanita yang mengaku dirinya kerabat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Tertuduh, Shamsiah Samsudin, 44, bagaimanapun tidak mengaku salah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Suri rumah tersebut didakwa melalui Facebook Tengku Cik Puan Muda Shamsiah menghantar komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 5.31 petang, 25 April 2017.
Kenyataan itu dibaca pada jam 2.11 petang, 26 April 2017 di Pejabat Sentosa Jaya, Jalan Padang Bongor, Pengkalan Chepa, di sini.
Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua dan denda RM1,000 bagi kesalahan berulang.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon dibenarkan jaminan dan mengaku sebagai kerabat selain mendakwa pernah dianugerahkan Jaksa Pendamai.
Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Februari depan.
#Facebook #hakim #kerabat diraja #kes mahkamah #penipuan #Yang di-Pertuan Agong
;