Wanita melecur, lapan rumah musnah dalam kebakaran di Tawau
Bernama
Julai 17, 2024 15:15 MYT
Julai 17, 2024 15:15 MYT
TAWAU: Seorang wanita melecur pada muka serta kaki dalam kejadian kebakaran melibatkan lapan rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata wanita berusia 31 tahun itu kini dirawat di Hospital Tawau.
"Bomba menerima panggilan pada 1.50 pagi dan setibanya jentera serta 20 anggota bomba di lokasi, terdapat lapan rumah serta empat kereta terbakar.
"Anggota bertugas menggunakan empat pancutan air daripada sumber pili bomba dan tangki air jentera bagi memadamkan api, pasukan bomba membuat fire break dan berjaya menyelamatkan 15 rumah lain daripada terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Jemishin, operasi ditamatkan pada 7.24 pagi dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA