Wanita MCA sokong cadangan pinda Akta KWSP berhubung penama

Bernama
September 26, 2016 21:30 MYT
Mengikut peraturan sekarang, ahli KWSP akan membuat penamaan, kebiasaannya sewaktu bujang (bagi penama menerima kredit ahli selepas kematian). - Gambar fail
Wanita MCA menyokong cadangan Majlis Peguam untuk meminda Peraturan 7, Peraturan-peraturan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2001 berhubung penamaan dalam KWSP.
Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie berkata mengikut peraturan sekarang, ahli KWSP akan membuat penamaan, kebiasaannya sewaktu bujang (bagi penama menerima kredit ahli selepas kematian).
"Jadi, Majlis Peguam mencadangkan agar penamaan itu patut dibatalkan melalui perkahwinan pencarum (ahli).
"Hal ini kerana selepas ahli tersebut berkahwin dan sekiranya berlaku kematian, ia akan meninggalkan kesan kepada isteri dan anak-anak, iaitu keadaan serba-salah memikirkan mengenai kelayakan penerimaan kredit ahli," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan wakil-wakil dari Majlis Peguam di sini hari ini.
Pengerusi Reform Undang-Undang dan Bidang Khas majlis itu Datuk M. Ramachelvam berkata Majlis Peguam telah mengutarakan cadangan pindaan itu kepada KWSP sejak 2007.
Bagaimanapun, institusi keselamatan sosial itu telah meminta Majlis Peguam untuk memperhalusi cadangan berkenaan.
"Majlis Peguam menulis kepada MCA awal tahun ini mengenai cadangan pindaan ini dan mereka (MCA) terus memberikan maklum balas serta-merta untuk menjadi platform kepada masyarakat.
"Cadangan pindaan ini penting, simpanan KWSP perlu diberikan secara automatik kepada suami atau isteri pencarum dan anak-anak setelah kematian, sekiranya ahli tidak mengemaskini penamaan KWSP selepas berkahwin," katanya.
Katanya, usul cadangan ini akan dibawa kepada Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani pada 13 Okt oleh Wanita MCA dan Majlis Peguam. - BERNAMA
#Heng Seai Kie #KWSP #M.Ramachelvam #Majlis Peguam #wanita mca
;