Wanita maut, X50 terbabas langgar pembahagi jalan di WCE
Abd Razak Mohd Ali
Jun 19, 2024 07:45 MYT
Jun 19, 2024 07:45 MYT
BERUAS: Seorang wanita maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dipandunya terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 288 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, awal pagi ini.
Mangsa berusia 50 tahun yang memandu berseorangan, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.37 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah Proton X50 terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Shamsul Alam Man tamat jam 2.35 pagi.