Wanita maut, tujuh cedera nahas tiga kenderaan

Sinar Harian
Jun 2, 2024 15:38 MYT
Keadaan Perodua Bezza yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas di Kampung Belimbing pada Sabtu.
TANAH MERAH: Seorang wanita maut manakala tujuh cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas di Kampung Belimbing di sini pada Sabtu.
Kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Bezza, Honda City dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV itu berlaku pada jam 8.50 malam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali Siti Husnina Manaff, 26, yang juga penumpang belakang dalam kereta jenis Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta Perodua Bezza dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun berhenti di bahagian tengah jalan untuk masuk ke simpang di sebelah kanan.
Menurutnya, Honda CRV yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun yang datang dari arah sama secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang Perodua Bezza hingga menyebabkan kereta itu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar pula dengan Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari arah Pasir Mas.
"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa dan dan anak saudaranya tercampak keluar dari kereta dan jatuh di atas jalan raya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala semua mangsa lain berusia antara 22 hingga 53 tahun dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Haki berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujar beliau, pihak polis memohon orang ramai yang melihat ataupun mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkan ke Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Afiq Mohd Sulaiman di talian 09-9556222.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#wanita maut #nahas Tanah Merah #nahas tiga kenderaan #masuk simpang
;