Wanita maut terjatuh tingkat 12

Sinar Harian
Disember 5, 2022 07:45 MYT
Mayat wanita berusia 55 tahun yang juga ibu tunggal ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tinggal 12 sebuah hotel di Banda Hilir pada Isnin. - Gambar hiasan
MELAKA: Seorang wanita berstatus ibu tunggal ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah hotel di Banda Hilir, di sini pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.45 pagi.
Menurutnya, Ketua Balai Polis Banda Hilir telah menerima aduan kejadian itu dan pemeriksaan dilakukan di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya menemukan mayat seorang wanita berusia 55 tahun.
Katanya, maklumat awam diterima memaklumkan keadaan mangsa berlumuran darah di bahagian kepala di atas jalan.
"Pegawai penyiasat tiba di lokasi mendapati satu mayat wanita lengkap berpakaian ditemukan tertiarap bahagian belakang hotel tersebut.
"Menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) hotel mendapati mangsa memasuki hotel pada jam 10.23 pagi dan naik ke tingkat 12 sebelum terjatuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca bagaimana kejadian itu berlaku.
"Berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa merupakan seorang penganggur dipercayai mengalami masalah kewangan selepas berhenti kerja sebagai jurujual produk kecantikan beberapa tahun lalu.
"Mayat telah dibawa ke Hospital Melaka dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," jelas beliau. -Sinar Harian
#hotel di Banda Hilir #jatuh tingkat 12 #ibu tunggal #Christopher Patit
;