Wanita maut terjatuh dari tingkat 19 dalam kebakaran pangsapuri

Bernama
Julai 25, 2018 20:36 MYT
Menurutnya mayat Liew dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai untuk bedah siasat. - Gambar hiasan
Seorang wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 19 ketika cuba menyelamatkan diri dari kebakaran di pangsapurinya di Taman Mutiara Mas, Skudai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata kejadian pada 2 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Liew Li San, 33, pekerja kilang di Singapura, sedang tidur di biliknya.
"Mangsa (Liew) sedang tidur seorang diri di dalam biliknya manakala dua adik perempuan kembarnya sedang memasak di dapur bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
"Kebakaran dipercayai berpunca dari dapur dan kedua-dua adik kembar bersama kanak-kanak itu terus keluar untuk mengambil pemadam api di luar rumah, namun, api merebak dengan cepat," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Noor Hashim berkata Liew dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan memanjat balkoni selepas terjaga dari tidur dan berpaut pada saluran paip pvc untuk melintasi tembok rumah bersebelahan, namun, disyaki tergelincir lalu terjatuh dari tingkat 19 ke tingkat satu.
Beliau berkata rumah berkenaan dimiliki Liew dan dia baru sahaja tinggal di pangsapuri 20 tingkat berkenaan sejak empat bulan lepas.
"Kebakaran menyebabkan rumah mangsa terbakar sebanyak 60 peratus dan punca kejadian sebenar sedang disiasat," katanya dengan menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurutnya mayat Liew dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
#API #bomba #jatuh bangunan #Johor Bahru #kebakaran #mayat #Skudai
;