Wanita maut tercampak keluar kereta dipandu suami

Sinar Harian
Disember 22, 2024 07:45 MYT
Keadaan kenderaan dinaiki mangsa yang terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu suaminya dalam kemalangan di Jalan Lintas, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis Honda Accord dan Perodua Alza.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu kereta Honda Accord berusia 60-an bersama tiga ahli keluarga termasuk isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah dari Inanam ke arah Petagas.
"Ketika kejadian, kereta tersebut berada di lorong tengah dan pemandu hendak memotong kenderaan di hadapannya dengan menukar ke lorong kanan, namun ketika itu terdapat kenderaan lain di hadapan menyebabkan pemandu menekan brek dan masuk semula ke lorong asal.
"Bagaimanapun, tiba-tiba kenderaan dipandunya hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur 40-an dan menyebabkan kenderaan Honda Accord tersebut terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, akibat kemalangan itu, tiga penumpang yang berada di dalam kenderaan Honda Accord tersebut telah tercampak keluar.
"Isteri pemandu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan oleh pasukan perubatan yang bertugas.
"Hasil siasatan juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu tersebut yang mana telah gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan menyebabkan kematian penumpang," katanya.
Bagaimanapun, Kasim berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian
#Kota Kinabalu #kereta terbabas #wanita tercampak keluar dari kereta #kemalangan maut
;