Wanita maut tercampak keluar dari kereta

Nur Fazlizai Ali
November 28, 2021 18:10 MYT
Kereta yang dipandu suami mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan tersebut. - Gambar ihsan PDRM
SETIU: Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di Kilometer 74 Kampung Air Sejuk di sini, pada Ahad.
Nahas yang berlaku sekitar pukul 7.15 pagi itu menyebabkan mangsa, Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil itu dalam perjalanan dari Johor ke Kelantan.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu suami mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.
Susulan kejadian itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan tersebut.
Affandi berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala suaminya yang mengalami kecederaan turut menerima rawatan di hospital sama.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#wanita maut #tercampak keluar dari kereta #Hospital Setiu #Nadia Fizatul Hanim Zamani
;