Wanita maut selepas treler rempuh rumah

Bernama
Ogos 3, 2024 14:47 MYT
Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa dari runtuhan rumah pada Sabtu. -Foto JBPM
KUANTAN: Seorang wanita maut dalam runtuhan rumah selepas dirembuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada 4.46 pagi.
Beliau berkata sebanyak 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan serta Peramu digerakkan ke lokasi kejadian.
Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam runtuhan dilakukan sebelum pihaknya menemukan mangsa di bahagian bawah hadapan treler itu.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiga mangsa termasuk pemandu treler mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA
#treler terbabas #Kampung Ketapang Hilir #wanita maut #Balai Bomba dan Penyelamat
;