Wanita maut selepas kain baju kurung termasuk dalam rantai motosikal
Bernama
Mei 15, 2014 10:20 MYT
Mei 15, 2014 10:20 MYT
Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang anak lelakinya hilang kawalan dan terjatuh setelah baju kurung yang dipakainya termasuk ke dalam rantai motosikal, dalam kejadian di Km 3, Jalan Simpang Pelangai-Simpang Chemomoi dekat Bentong pada Selasa.
Azizah Jamaludin, 40, dari Kampung Baru Simpang Pelangai, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Simpang akibat kecederaan yang dialaminya, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim ketika dihubungi di sini Rabu.
Katanya kejadian berlaku 1.10 tengah hari ketika dua beranak itu dalam perjalanan balik ke rumah.
"Akibat kain baju kurungnya termasuk ke dalam rantai motosikal, mangsa terjatuh ke belakang, manakala anak lelakinya yang berusia 20-an terjatuh ke sebelah kiri jalan," katanya menambah pemuda itu patah tangan kiri dan dirawat di Hospital Daerah Bentong.
Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang pengawal keselamatan terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah jip dalam kejadian lewat petang semalam.
Mohamed Fauzi berkata, dalam kejadian 6.25 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Beserah itu, Wan Ismail Wan Musa, 56, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Nahas berlaku semasa mangsa yang tinggal di Kampung Sungai Karang Darat dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Beserah dan telah dilanggar dari tepi oleh jip terbabit yang datang dari arah sama," katanya.
Beliau berkata kes disisat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.