Wanita maut, nahas kereta, treler muatan sawit di Selama

Abd Razak Mohd Ali
September 1, 2024 07:15 MYT
Ketua operasi melaksanakan ‘size-up’ dan mengaplikasikan konsep SAVER, seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidrolik hingga mangsa berjaya dikeluarkan. - Foto JBPM Perak
LARUT: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah treler yang membawa muatan sawit di Jalan Taiping, Kampung Pondok Tanjong, Selama, dekat sini, malam tadi.
Wanita berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.41 malam.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama digerakkan ke lokasi yang jaraknya 27 kilometer dari balai.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona berlanggar dengan sebuah lori treler jenis Hino yang membawa muatan sawit.
“Ia melibatkan seorang mangsa perempuan berbangsa Melayu berumur 32 tahun tersepit dan maut setelah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan ‘size-up’ dan mengaplikasikan konsep SAVER, seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidrolik hingga mangsa berjaya dikeluarkan.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu anggota dari BBP Batu Kurau yang digerakkan ke lokasi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Hafidz Md Rahim itu tamat sepenuhnya jam 10.50 malam.
#lori sawit #kemalangan maut #JBPM Perak #Jalan Taiping Selama
;