Wanita maut nahas dua kereta di Bukit Putus

Sinar Harian
Oktober 14, 2021 07:44 MYT
Keadaan kereta Perodua Myvi selepas terbabit kemalangn dengan sebuah kereta lain di Jalan Seremban-Kuala Pilah. -Gambar ihsan Bomba
SEREMBAN: Seorang wanita berusia 44 tahun maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Seremban-Kuala Pilah (Bukit Putus) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 6.40 petang itu melibatkan dua buah kenderaan.
"Berdasarkan siasatan mangsa memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Sungai Gadut menuju ke arah Juasseh.
"Bagaimanapun sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 36 tahun bersama seorang penumpang kanak-kanak berumur empat tahun yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan mangsa dan melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Myvi tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Mohd Said berkata, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Sementara pemandu Axia mengalami kecederaan di bahagian badan serta penumpang mengalami kecederaan patah kaki kanan," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat manakala dua lagi yang cedera masing-masing menerima rawatan susulan di hospital yang sama.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #Bukit Putus #Jalan Seremban-Kuala Pilah #Mohd Said Ibrahim
;