Wanita maut motosikal terbabas dipercayai selepas bertengkar dengan suami
Bernama
Februari 12, 2025 19:40 MYT
Februari 12, 2025 19:40 MYT
Motosikal ditunggang Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah kanan jalan dan melanggar tembok batu. - Gambar/ Sinar Harian
ALOR GAJAH: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, Alor Gajah di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam itu, motosikal ditunggang Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah kanan jalan dan melanggar tembok batu.
"Pekerja kilang itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mana-mana saksi diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ashari berkata sebelum kemalangan itu berlaku mangsa dipercayai bertengkar dengan suaminya berusia 22 tahun dan bekerja sebagai penghantar barang.
"Ada maklumat mengatakan mangsa bertengkar dengan suami sebelum kejadian itu dan ketika dalam perjalanan pulang, suami mengikut mangsa dari belakang bagaimanapun wanita itu memecut motosikal dan terbabas.
"Pihak polis akan memanggil suami mangsa untuk diambil keterangan," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-- BERNAMA