Wanita maut, motosikal dilanggar lori
Sinar Harian
Mei 22, 2024 09:30 MYT
Mei 22, 2024 09:30 MYT
GOMBAK: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Greenwood menghala ke Sri Gombak, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kes kemalangan itu pada jam 4.15 petang.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira jam 3.45 petang, seorang lelaki berusia 64 tahun memandu sebuah lori dari Sungai Pusu menuju ke Kepong Baru.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu terdengar bunyi dentuman yang kuat di hadapan kenderaan itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Noor Ariffin berkata, pemandu berkenaan mendapati sebuah motosikal jenis Yamaha Ego LC yang ditunggang oleh seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun berada di bawah tayar depan sebelah kiri lori.
"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Selayang. Mangsa telah dihantar ke forensik hospital sama untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian