Wanita maut langgar kerbau

Sinar Harian
Februari 2, 2022 13:18 MYT
Wanita maut selepas kereta dipandunya melanggar kerbau yang melintas jalan di Batu Gajah. - Foto Ihsan Bomba Perak
BATU GAJAH: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas setelah melanggar seekor kerbau di Jalan Perindustrian Pengkalan 2 di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, Lee Chiew Li, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan pulang dari Pusing di sini ke rumahnya di Kampung Muhibbah Fasa 1, Sungai Siput.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan selepas terlanggar kerbau yang melintas.
"Kereta mangsa telah terbabas masuk ke gaung sebelah kiri jalan dan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#wanita maut #langgar kerbau #Batu Gajah #kecederaan
;