Wanita maut kereta terhumban ke dalam gaung
Azee Shafy
Jun 17, 2023 14:19 MYT
Jun 17, 2023 14:19 MYT
MARAN: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu terhumban ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Lubuk Yu dekat Sungai Jering, di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.34 pagi dan seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa yang memandu kereta Toyota Rush dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter, hingga ke sungai berdekatan.
"Orang ramai berjaya mengeluarkan mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba dan pasukan bomba menggunakan tali dan pengusung untuk menaikkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.