Wanita maut kereta terbabas langgar besi penghadang jalan
Astro Awani
September 3, 2020 09:46 MYT
September 3, 2020 09:46 MYT
Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan dalam satu kejadian pada Rabu.
Kemalangan berlaku di Kilometer 392.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Ajil-Bukit Besi kira-kira jam 4.15 petang.
Nahas mengakibatkan mangsa, Tuan Isma Farazilahidayah Ismail, 36 tahun, maut di tempat kejadian.
Ketika itu, pasangan berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh, Kelantan menuju ke Pasir Gudang, Johor Bahru.
Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suami mangsa berusia 30 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi tengah penghadang jalan.
Susulan rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, semakan mendapati, pasangan berkenaan dari Kampung Gong Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan dan masing-masing bekerja sebagai operator dan kerani di sebuah kilang di Pasir Gudang.
Menurut Mohd Adli, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital yang sama.
Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#cedera parah
#hilang kawalan
#Hulu Terengganu
#kemalangan
#kerani
#langgar
#Lebuhraya Pantai Timur 2
#LPT 2
#maut
#meninggal dunia
#Mohd Adli Mat Daud
#Pasir Gudang
#Pasir Puteh
#penghadang jalan
#suami
#terbabas
#wanita