Wanita maut kereta jatuh sungai di Kepala Batas

Astro Awani
Mei 11, 2024 11:55 MYT
Anggota bomba dengan bantuan unit PPDA membantu mengeluarkan mangsa dari kereta yang terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian di Jalan Lahar Kepar, Penaga, Kepala Batas pagi ini. - Foto JBPM Pulau Pinang
KEPALA BATAS: Seorang wanita meninggal dunia akibat lemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di Jalan Lahar Kepar, Penaga, di sini hari ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.39 pagi tadi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dengan bantuan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati sebuah kereta jenis Perodua Alza terjunam di dasar sungai dan terdapat seorang mangsa wanita berusia 40 tahun berada di dalamnya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Siti Hawa Mohd Isa.
"Anggota kemudian menjalankan tugas mengeluarkan mangsa dengan bantuan unit PPDA. Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.55 pagi.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi," katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat jam 10.06 pagi.
#kereta jatuh sungai #pemandu wanita maut #kereta terbabas #JBPM Pulau Pinang
;