Wanita maut, kereta dirempuh lori

Abd Razak Mohd Ali
Jun 19, 2021 16:35 MYT
Operasi dengan kekuatan tujuh anggota itu mengambil masa selama empat jam setengah bagi mengeluarkan mangsa dan selesai sepenuhnya pada jam 2.08 petang.- Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
LUMUT: Seorang wanita maut setelah kereta yang dinaiki dirempuh sebuah lori muatan palet ayam di Jalan Ipoh-Lumut di sini, hari ini.
Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Noor Aishah Mohd Tahir, 26, dalam perjalanan dari Sungai Siput ke Batu Gajah.
Dipercayai lori yang membawa muatan palet ayam pula dari Lebuhraya Ipoh-Lumut menghala ke Meru.
Menurut Ketua Zon 1 Jelapang, Nor Rasidamayati Abd Rasid, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.28 pagi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta.
"Disahkan terdapat seorang mangsa di dalam kereta itu, dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Menurutnya lagi, operasi dengan kekuatan tujuh anggota itu mengambil masa selama lebih empat jam bagi mengeluarkan mangsa dan selesai sepenuhnya pada jam 2.08 petang.
Ujarnya, operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan menggunakan kren.
"Lori yang berada di atas kereta mangsa diangkat dan dialihkan untuk mumudahkan kerja membawa mangsa keluar," ujarnya.
"Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan setakat ini punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.
"Semasa bomba tiba di lokasi, pemandu lori sudah tiada di tempat kejadian, difahamkan polis dalam proses mengesan pemandu lori berkenaan,'' katanya lagi.
#kemalangan #lumut #KKM #bomba #Kementerian Kesihatan #Balai Bomba dan Penyelamat #Lebuhraya Ipoh #rempuh lori
;