Wanita maut kereta dipandu rempuh jentolak
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 15, 2024 11:30 MYT
Oktober 15, 2024 11:30 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dipandu merempuh belakang sebuah jentolak di Jalan Lencong Timur, di sini, pada Selasa.
Mangsa, Zuraini Murad, 48, yang juga tukang masak di sebuah kedai makan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Produa Axia datang dari arah Taman Batik menuju ke Bukit Bayan.
“Setiba di tempat kejadian, pemandu Axia itu tidak sempat membrek lalu merempuh belakang sebuah jentolak yang sedang bergerak di hadapan.
“Akibat dari kemalangan, pemandu Axia mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian. Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, pemandu jentolak berusia 24 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.