Wanita maut kereta bertembung lori tangki
Norfarhiza Mohd Atar
Februari 18, 2023 12:45 MYT
Februari 18, 2023 12:45 MYT
ROMPIN: Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan lori tangki di Jalan Bahau - Keratong di sini pagi tadi.
Kejadian tersebut turut menyebabkan dua penumpang kereta cedera termasuk seorang kanak-kanak manakala pemandu lori tangki berkenaan selamat.
Identiti mangsa yang terkorban dikenalpasti sebagai Rosnah Saadon, 56.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.03 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi kemalangan.
"Ketika sampai di tempat kejadian bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki yang mana bahagian kepala lori terbabit terbakar akibat dari insiden itu.
"Terdapat seorang wanita dewasa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alatan menyelamat khas sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
Jelasnya, pasukan bomba turut bertindak melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan aliran hos dari jentera bagi memadam kebakaran di bahagian kepala lori tangki.
"Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke hospital untuk diberi rawatan lanjut," katanya.