Wanita maut kemalangan kereta dan pacuan empat roda

Abd Razak Mohd Ali
September 20, 2019 11:20 MYT
Menurut polis, kereta mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong bertentangan. Gambar ihsan JBPM
Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu dilanggar sebuah pacuan empat roda di Kilometer 6, Jalan Teluk Intan Bidor di sini, pagi ini.
Mangsa, Nor Shazwani Mohamad, 26 tahun, yang beralamat di Padang Mat Sirat, Langkawi, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharudin Wan Ismail berkata, ketika kejadian kira-kira 8.10 pagi, mangsa yang memandu kereta jenis Honda City dalam perjalanan ke arah Bidor.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong bertentangan.
“Seterusnya kereta mangsa dilanggar di bahagian kiri oleh pacuan empat roda yang dalam perjalanan menuju ke arah Teluk Intan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu pacuan empat roda, seorang lelaki berumur 52 tahun, mengalami kecederaan di kepala.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#hilang kawalan #kemalangan #mangsa #mayat #meninggal dunia #Nor Shazwani Mohamad #pacuan empat roda #polis #Teluk Intan #terbabas #Wan Azharudin Wan Ismail
;